Friday, December 17, 2010

"Kaji Semula Undang-Undang Jenayah Syariah"

 Prof Madya Dr Paizah Ismail

KL, 17 Dis 10: Undang-undang jenayah Syariah perlu dikaji semula agar sistem kehakiman itu mempunyai kuasa menyeluruh sebagai pencegah gejala zina dan pembuangan bayi yang terus mendapat perhatian masyarakat. 

Pensyarah Jabatan Undang-undang Islam Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Paizah Ismail berkata, undang-undang jenayah Syariah yang diamalkan bukan undang-undang bertujuan untuk merealisasikan syariat Islam sepenuhnya.

“Sebaliknya, ia merupakan undang-undang yang berperanan untuk menampung kekurangan yang ada pada undang-undang konvensional dalam hal keagamaan.

“Kerana itulah peruntukan-peruntukan dalamnya lebih bersifat untuk menjaga kepentingan keagamaan bagi umat Islam di negara ini dan bukan melaksanakan undang-undang jenayah Islam sepenuhnya,” kata beliau pada Muzakarah Fatwa “Menangani Zina serta Pembuangan Bayi di kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini.

Melihat kepada kes zina dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa, Paizah berkata undang-undang jenayah Syariah gagal untuk berperanan sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab menangai gejala itu.

“Mungkin agak janggal untuk mengatakan undang-undang jenayah Syariah di Malaysia sekarang tidak cukup mampu berperanan sebagai satu faktor pencegah gejala perzinaan dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

“Tetapi itulah hakikatnya, meskipun syariat Islam yang menjadi asas kepada undang-undang mempunyai hukuman yang cukup berkesan bagi menghadapi gejala seperti itu, namun syariat tidak diikuti sepenuhnya oleh undang-undang tersebut.

“Tambahan pula rakyat Malaysia termasuk orang Islam masih prejudis terhadap keadilan syariat Islam, realiti ini telah meletakkan undang-undang jenayah Syariah di tempat yang salah,” katanya.

Beliau juga berkata, dengan sedikit bidang kuasa dan tradisi mahkamah yang kurang mantap, undang-undang jenayah Syariah tidak boleh menyumbang ke arah menyelesaikan masalah zina dan pembuangan bayi.

“Kesan pelaksanaan mungkin ada tetapi sedikit sekali, hasilnya tidak lebih daripada rutin yang tidak mampu mempengaruhi perkembangan masyarakat.

“Justeru dalam menghadapi realiti yang serius seperti soal perzinaan dan pembuangan bayi, undang-undang yang cukup berkesan diperlukan kerana syarat ini tidak dapat dipenuhi undang-undang jenayah syariah sekarang.

“Peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalamnya tidak mampu memberi kejutan kepada remaja dan penuntut terlibat supaya lebih berhati-hati agar tidak akan berhadapan dengan hukuman berat yang sukar dipikul,” katanya. (AK)

Sumber : www.ibnuhasyim.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...