Monday, April 11, 2011

Aku Pun Produk MTAQ Pulai Chondong...(^_~)

Posting yang dibuat oleh seorang blogger, The Kelantan Times  bertajuk :-

Produk Kelantan: Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulai Chondong
Friday, 8 April 2011

Salah sebuah sekolah kelolaan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang telah banyak menyumbang dalam bidang pendidikan di Kelantan terutamanya pendidikan beraliran agama ialah Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Pulai Chondong. Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat (معهد تحفيظ القرآن والقراءات) atau singkatan MTAQ merupakan sebuah sekolah agama/arab yang merangkumi tiga bidang pengajian iaitu Al-Quran Wal-Qiraat, Bahasa Arab dan Akademik. Ia diwujudkan hasil cadangan YAB Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan setelah menerajui Kelantan pada tahun 1990. Maahad Tahfiz Al-Quran (MTAQ) telah ditubuhkan pada tahun 1992 dan ia diletakkan di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Objektif utama penubuhan MTAQ ini adalah untuk menyediakan kemudahan mengkaji al-Quran dan mempelajari Ulum al-Quran, menghidupkan kembali Ulum Al-Quran dan memperdekatkan Ulum Al-Quran kepada masyarakat serta mampu melahirkan ulama hafiz yang memahami isi kandungan al-Quran dan menjadi rujukan masyarakat. Selain itu, penubuhan sekolah ini adalah untuk memelihara isi kandungan al-Quran dan keaslian bacaannya dari sebarang penyelewengan dan membentuk insan yang mempunyai ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi, beramal soleh, bertakwa kepada Allah s.w.t. dan berakhlak mulia.
 
Mula dibina pada 16 Mei 1993, kompleks MTAQ terletak di Pulai Chondong dengan sebuah bangunan di atas tanah seluas 4.8 ekar. Walaupun para pelajar terpaksa menghadapi segala kekurangan dari segi prasarana dan kemudahan, namun mereka berjaya mengikuti segala proses pembelajaran seperti mana yang diharapkan oleh kerajaan. Pada akhir tahun 2006, pihak kerajaan telah membeli sebidang tanah seluas 2.9 ekar untuk membina sebuah masjid. Dengan pembelian tanah ini, ia menjadikan keluasan tapak MTAQ berjumlah 12.7 ekar. Pada 22 Oktober 2007, MTAQ menerima kemasukan seramai 53 orang pelajar dari salah sebuah maahad tahfiz cawangan di Pasir Putih yang telah mengalami bencana kebakaran. Manakala baki yang lain dari sekolah tersebut telah dipindahkan ke satu lagi cawangan MTAQ di Pasir Mas.

Pada hari ini MTAQ berdiri gah di mata masyarakat sebagai sebuah pusat tahfiz yang berprestij dan berperanan melahirkan generasi huffaz yang bakal menjadi pemimpin masyarakat di masa yang akan datang. Antara kejayaan yang mula-mula dicapai oleh MTAQ ialah Anugerah Sekolah YIK Terbaik SPM1997 dan Anugerah Sekolah Terbaik YIK STU 1997. Kejayaan yang diraih ini sekaligus menjawab persoalan di kalangan masyarakat bahawa menghafaz al-Quran tidak menghalang kecemerlangan di dunia.

Sejak penubuhannya, MTAQ telah menempa beberapa kejayaan yang membanggakan, antaranya:

1.   Anugerah Sekolah Terbaik YIK Keseluruhan pada tahun 1997, 1998, 2000, 2003, 2004, 2005 dan 2007.

2.   Anugerah Sekolah Terbaik SMU YIK pada tahun 2000, 2003, 2004, 2005, 2006, 2007 dan 2008.

3.   Anugerah Sekolah Terbaik SPM YIK pada tahun 1997, 1998, 2000, 2001, 2002, 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

4.   Anugerah Sekolah Terbaik STAM YIK pada tahun 2004. (MTAQ hanya memasuki STAM secara rasmi pada tahun 2004 sahaja)

5.   Anugerah Sekolah Cemerlang SPM 2003 peringkat kebangsaan bagi kategori SAN/SMKA.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, MTAQ turut serta dalam Pertandingan Hafazan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa dan telah merangkul beberapa anugerah.

Sumber rujukan http://mtaq.edu.my


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...