KL JUN 3, 10: “Saya hanya ingat mati dan berserah kepada Allah sebaik saja cahaya laser senjata seorang unit komando tentera laut Israel dihalakan tepat ke dahi saya,” kata Ashwad Ismail, 25, wartawan Astro Awani ketika dihubungi sejurus melepasi sempadan Israel-Jordan, semalam.
Beliau antara 12 rakyat negara ini terselamat dalam serangan komando rejim Zionis pada Ahad lalu terhadap kapal Turki, Marvi Marmara yang membawa misi bantuan kemanusiaan bersama kira-kira 700 anak kapal lain ke Semenanjung Gaza untuk penduduk Palestin. Ashwad berkata dalam kejadian jam 4.15 pagi waktu Turki itu, dia dimaklumkan serangan tentera Israel membabitkan 19 bot komando, empat kapal perang, tiga helikopter dan tiga kapal selam.
“Ketika itu saya bersama jurukamera saya (Shamsul Kamal Latip, 38) dan beberapa sukarelawan lain berada dalam bilik rehat di tingkat tiga kapal. Kami terdengar tembakan bertubi-tubi dan letupan, menyebabkan masing-masing bertempiaran lari menyelamatkan diri.
“Ketika itu saya terpisah dengan Shamsul Kamal, tetapi saya masih mengambil gambar kejadian dengan kamera digital milik saya. Saya menuju bahagian belakang kapal dengan harapan bersembunyi, tetapi langkah saya terhenti apabila menyedari pancaran laser merah dihalakan tepat ke dahi saya oleh komando Israel.
“Anggota komando Israel itu merampas semua barang saya hingga tinggal sehelai sepinggang sebelum mengikat tangan saya dan semua tawanan lain dengan tali kabel. Saya diarahkan berkumpul bersama anak kapal lain yang ditahan. Kami diarahkan duduk dalam beberapa kumpulan di lokasi berasingan dalam kapal,” katanya.
Menurutnya, kebimbangan maklumat mengenai serangan kapal misi keamanan itu bocor kepada umum menyebabkan tentera Israel sanggup merampas apa saja peralatan komunikasi termasuk pen kerana ingin memastikan kekejaman yang berlaku itu tidak dihebahkan ke pengetahuan masyarakat antarabangsa Ashwad berkata, menurut rakan dalam misi itu, antara tembakan terawal Israel terhadap anak kapal Marvi Marmara ditujukan kepada jurukamera stesen televisyen dari Turki yang membuat siaran langsung kejadian terbabit.
“Komando Israel sengaja menembak di bahagian tangan jurukamera itu untuk memastikan kamera videonya terlepas. Selepas itu, komando Israel menggeledah dan merampas segala alat komunikasi termasuk telefon bimbit, komputer riba, buku catatan, kamera dan pen. Tetapi buku catatan saya tidak dirampas sebab ditulis dalam bahasa Melayu...mungkin komando itu tak faham,” katanya.
Katanya, jika dianalisis kembali, siaran berhubung kejadian itu yang disiarkan media pro Zionis diputar belit kononnya aktivis kemanusiaan terlebih dulu melakukan provokasi walaupun realiti sebaliknya.
Menurutnya, tragedi serangan itu membuka mata dunia mengenai halangan hak kemanusiaan terburuk dan kejam bukan saja kepada misi berkenaan, malah penduduk Palestin yang mengalaminya sejak 1948 ketika Israel ditubuhkan.
Ashwad berkata, selepas ditawan kapal terbabit kemudian menuju ke Pelabuhan Ashdod yang mengambil masa kira-kira 15 jam perjalanan dari lokasi serangan Israel di perairan antarabangsa itu.
Katanya, setiba di Pelabuhan Ashdod, proses untuk keluar dari kapal saja memakan masa hampir 12 jam apabila regim Zionis itu melakukan pemeriksaan seorang demi seorang tawanan dengan prosedur terlalu ketat.
“Pakaian kami dipaksa ditanggalkan semuanya ketika pemeriksaan dilakukan, manakala untuk pemeriksaan semua dokumen itu mengambil masa lebih satu jam.
“Ketika itu, Tuhan yang tahu betapa kasarnya tentera Israel memperlakukan kami tanpa perikemanusiaan. Kami kemudian dibawa ke Penjara Be’er Sheva, Israel dengan menggunakan bas dalam perjalanan selama dua jam...bas yang hanya sesuai untuk pengganas,” katanya.
Menurutnya, Be’er Sheva penjara baru dan kumpulan misi itu ‘banduan’ pertama ditahan di dalam sel berasingan penjara berkenaan. Katanya, dia dan kumpulan misi itu menjangka berada dalam tempoh masa lama dalam penjara terbabit sebelum didatangi wakil dari Pertubuhan Palang Merah dan Kedutaan Jordan yang membawa berita gembira iaitu mereka dibebaskan.
Semalam rombongan misi kemanusiaan daripada Malaysia dibebaskan rejim Zionis sebelum diiringi dengan ketat hingga sempadan King Hussein memisahkan Jordan dan Israel.
Ashwad berkata, rombongan itu kemudian ditempatkan di Hotel Crowne Plaza di Amman, Jordan sebelum disambut Duta Besar Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Abdul Aziz.
“Sebaik melepasi sempadan, saya ucap kesyukuran kepada Allah lebih-lebih lagi selepas lebih 16 jam berada di Penjara Be’er Sheva, Israel,” katanya.
Menurutnya, layanan Israel terhadap sukarelawan misi membawa keamanan termasuk bantuan makanan itu bagaikan banduan apabila diperlakukan dengan kasar.
(sumber: myMetro)
No comments:
Post a Comment