MACHANG, 21 Feb: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meluangkan masa hampir 40 minit melawat tapak kebakaran yang membabitkan 20 buah rumah kedai dan kediaman, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam Sabtu itu, dianggarkan sebanyak RM1 juta musnah apabila kedai yang penuh bersejarah serta identiti Pulai Chondong itu hangus terbakar. Dalam kejadian terbesar yang melanda negeri Kelantan awal tahun ini, kerajaan negeri menyumbangkan sebanyak RM1,500 kepada setiap mangsa, sebagai sumbangan pertama untuk mereka.
Sumbangan berkenaan disampaikan sendiri oleh Tuan Guru dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa di Pasar Pulai Chondong. Tuan Guru ketika berucap pada majlis ringkas itu menyeru jiran tetangga supaya membantu rakan-rakan mangsa kebakaran penuh keikhlasan sebagai cara meringankan bebanan mereka.
Menurutnya, bencana tersebut ujian Allah dan semua mangsa harus menerima dengan hati yang tabah.
“Sikap cakna ini sedikat sebanyak dapat meringankan kesusahan mangsa sama ada dari segi fizikal atau mental mereka.
“Yang tinggal berdekatan tolong bantu dan berikhtiar dan saya ucapkan takziahlah kepada semua mangsa kebakaran,”ujarnya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, seramai 20 mangsa kebakaran rumah kedai dua tingkat di Bandar Lama Pulai Chondong semalam mungkin menjadi kumpulan pertama yang akan menerima Wang Ihsan sumbangan kerajaan Persekutuan bulan depan. Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keputusan muktamad dan butir-butir lanjut mengenainya akan diketahui hanya selepas pihaknya mengadakan mesyuarat bulan depan.
Hari ini pula, di Kota Baharu Datuk Seri Mustapa Mohamed pula meluahkan rasa sedih apabila beliau dianggap mengkhianati rakyat Kelantan kerana tidak memihak kepada kerajaan negeri yang diteraju PAS dalam menuntut royalti minyak.
"Saya amat sedih dan dukacita jika dalam begini saya masih dikatakan sebagai rakyat yang derhaka dan mengkhianati rakyat Kelantan kerana semata-mata tidak menyokong kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan kerajaan negeri ini," kata Anggota Parlimen Jeli itu.
Mengenai isu royalti itu, Mustapa berkata beliau telah membantu rakyat Kelantan mendapat wang ihsan yang bakal diagih pada Mac ini.
Komen penulis blog : Diharapkan semua pihak dapat membantu mangsa-mangsa kebakaran tanpa mengira warna kulit, agama atau pun pegangan politik masing-masing. Kebersamaan dalam membantu golongan susah haruslah dijadikan punch line dalam diri setiap manusia yang menggelar diri manusia dan bukannya binatang. Takziah saya ucapkan untuk mangsa-mangsa kebakaran.
Sekian.
No comments:
Post a Comment