Sunday, March 28, 2010

Di Hening Malam..


Di waktu hening malam
Di waktu sepi sebarang bunyi
Di waktu manusia di alam mimpi
Embun pagi membasahi bumi

Bangunlah insan bangunlah
Buangkanlah selimutmu
Sucikan badanmu dan pakaianmu
Sujudlah menyembah membesarkan Tuhanmu
Panjatkanlah doa
Pohonkan ampunan dari-Nya
Agar bersih hatimu dan juga akalmu
Tundukkan nafsumu kepada kebenaran
Pangkat dan darjat yang tertinggi
Bagi yang berjaga malam

Di waktu malam yang sunyi sepi
Untuk Tuhan tertinggi lagi terpuji
Jadikanlah malam merintih dan mengadu
Kepada Tuhanmu
Agar kerja kita dipimpin-Nya

Diwani

Wednesday, March 24, 2010

Cara Mudah Hilangkan Stress...


  • Solat 5 waktu jangan tinggal. Sebaik-baiknya berjemaah.
  • Ambil Wudhu’.
  • Banyakkan membaca Al-Quran. Hayati maknanya.
  • Banyakkan makan buah-buahan. (Contoh buah limau kerana banyak vitamin C).
  • Kurangkan makan daging merah. Amalkan makan daging putih.
  • Amalkan teknik urutan.
  • Mandi (sebaik-baiknya air suam, bukan air panas). Amalkan menggunakan aroma terapi seperti bau-bauan yang wangi sewaktu mandi.
  • Berbincang, ceritakan masalah anda kepada orang yang boleh anda percayai. Jangan ceritakan kepada orang yang tak pandai simpan rahsia. Nanti anda makin stress..
  • Tengok binatang-binatang peliharaan. Contohnya tengok ikan di dalam akuarium.
  • Menangis. Ambil waktu yang sesuai, menangis. Sebaik-baiknya apabila bersolat malam (bertahajjud).
  • Kurangkan makanan yang banyak perasa tiruan.
  • Amalkan teknik ‘physical relaxation’.
  • Tengok pemandangan sekeliling. Lihat tumbuhan hijau.
  • Menyanyi, jangan menyanyi sampai mengganggu orang lain.
  • Dengar ceramah-ceramah agama.
  • Buka tingkap bilik, benarkan cahaya matahari masuk dan udara bersih masuk ke dalam bilik.
  • Minum air kosong dengan banyak. Sebaik-baiknya 1-2 L @ 3-4 L sehari.
  • Hubungi @ telefon ibu dan ayah. Bercakap dengan mereka.
  • Letak gambar ibu dan ayah di atas meja. Simpan gambar mereka di dalam dompet. Tengok gambar mereka bila stress.
  • Dengar muzik yang merdu, contohnya nasyid dan lain-lain.
  • Bila tension, senyum. Jangan pilih untuk marah.
  • Uzlah. Ambil masa untuk bersendirian.
  • Imbas kembali kenangan-kenangan manis sewaktu kecil-kecil dulu. Kalau ada barang-barang kenangan yang begitu berharga dan mempunyai sejarah tersendiri, sila tengok. Ambil masa seketika.
  • Pakai pakaian yang sesuai warnanya, warna-warna yang ceria.
  • Banyakkan doa kepada Allah supaya memberi ketenangan dan meredakan segala kemarahan. Maafkan semua orang.

Dato Dr.Haji Mohd Fadzilah Kamsah

Sunday, March 21, 2010

Sifat Seorang Sahabat...



1. Jika kamu berbuat baik kepadanya, dia akan melindungi kamu.


2. Jika kamu rapatkan persahabatan dengannya, maka dia akan membalas baik persahabatanmu itu.


3. Jika kamu perlukan pertolongan daripadanya berupa Wang dan sebagainya, maka dia akan membantumu.


4. Jika kamu menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerima dengan baik.


5. Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.


6. Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.


7. Jika kamu meminta sesuatu bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.


8. Jika kamu berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.


9. Jika datang sesuatu bencana menimpa diri kamu, dia akan meringankan kesusahan kamu.


10. Jika kamu berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.


11. Jika kamu merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu perancangan kamu itu.


12. Jika kamu berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.


Bimbingan Mukminin Imam Ghazali


Hati-Hati Dengan Hati Mu....

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat
Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta.
Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak belajar dengan peristiwa lalu

Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat. "Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pel ajaran?"
(Surah At-Taubah, ayat 126)

Monday, March 15, 2010

Sekitar GST: Kurang kadar cukai korporat

KERAJAAN sepatutnya mengurangkan kadar cukai korporat, bukan memberi insentif cukai, kata Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia.

Presidennya, Aziz Abu Bakar berkata, kadar cukai korporat Malaysia 26 peratus memang kompetitif berbanding kebanyakan negara di Asia kecuali Singapura 18 peratus.

“Antara cadangan kami kepada kerajaan ialah supaya kadar cukai korporat yang lebih jelas dan murah berbanding memberikan banyak insentif cukai. Itulah rejim percukaian yang kami mahu kerajaan ubah,” katanya selepas Persidangan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, masalahnya ialah orang ramai biasanya melihat kepada kadar cukai dan melupakan insentif, yang ada masanya tidak memberi manfaat kepada syarikat.

“Dari segi insentif, sukar membentuk syarikat bagi menyesuaikannya. Oleh itu adalah lebih baik menyediakan kadar cukai yang berkurangan, kompetitif berbanding Singapura,” katanya.

Penggantian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada dengan GST, yang dicadangkan empat peratus pada peringkat awal yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2011, dijangka menurunkan cukai pendapatan dan korporat.

Bagaimanapun, Aziz enggan menyatakan kadar dua cukai yang patut dikurangkan jika GST dilaksanakan.

“Saya tidak dapat menyebut angkanya. Namun, ia perlu kompetitif,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menawarkan pelepasan kepada syarikat dalam menyediakan pelaksanaan sistem GST. - Bernama



Info Kesihatan: Khasiat Tomato

Ada yang memilihnya sebagai ulaman yang dinikmati bersama ulam bersayuran hijau atau mencampurkannya dalam masakan.

Tetapi mungkin lebih ramai yang menikmatinya sebagai sos untuk pelbagai jenis sajian.

Tomato yang lebih dianggap sebagai buah-buahan, berbanding sayuran, sememangnya kaya dengan pelbagai manfaat kesihatan untuk tubuh.

Salah satu faedah kesihatan yang paling diketahui adalah kandungan lycopene iaitu sejenis antioksidan penting yang membantu memerangi pembentukan sel barah serta komplikasi kesihatan yang lain.

Radikal bebas dalam tubuh boleh disingkirkan menerusi paras lycopene yang tinggi manakala tomato memang kaya dengan antioksidan penting ini.

Lycopene bukanlah unsur yang dihasilkan secara semula jadi dalam tubuh sedangkan tubuh manusia memerlukan sumber antioksidan ini.

Meskipun buah-buahan dan sayuran lain mengandungi sumber lycopene, tiada buah-buahan dan sayuran yang mempunyai paras kepekatan lycopene yang tinggi berbanding tomato.

Pakar menyarankan pengambilan paling rendah sebanyak 540 mililiter produk tomato cair untuk mendapatkan khasiat penuh lycopene. Ini bermakna hanya segelas jus tomato setiap hari boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang.

Ia juga dianggap produk kesihatan yang sangat versetil termasuk daripada segi penyediaannya.

Tomato tetap segar walaupun dimasak. Malah, apabila ia mengalami perubahan suhu ketika pemprosesannya, kadar lycopene dalam tomato sebenarnya mengalami peningkatan, bukannya menurun seperti kebanyakan khasiat dalam buah-buahan dan sayuran yang dimasak.

Malah, tomato yang diproses atau dimasak mempunyai kandungan lycopene kira-kira 10 kali ganda daripada tomato mentah. Kulit tomato adalah sumber berharga bagi lycopene manakala sos tomato yang diperbuat daripada tomato organik mempunyai sumber lycopene yang lebih tinggi.

Apabila memilih tomato, carilah tomato yang mempunyai warna lebih merah kerana ia didapati mengandungi kandungan lycopene yang lebih tinggi. Tomato berasal dari Amerika Tengah dan Selatan manakala Mexico dikenali sebagai negara pertama yang menanamnya.

Penjelajah membawa benih pokok tomato ke Sepanyol dan ia terus popular di negara Eropah.

Anehnya, tomato asalnya ditanam untuk tujuan hiasan di Itali kerana ia dikhuatiri beracun.

Malah, atas alasan sama tomato tidak popular di Amerika Syarikat (AS) sehinggalah pada 1820.

Mesikpun mahkamah di AS pernah mengisytiharkan tomato sebagai sejenis sayur-sayuran pada sekitar 1820-an, ia sebenarnya adalah sejenis buah-buahan.

Selain faedah lycopene, pelbagai kajian turut menunjukkan tomato mempunyai manfaat untuk membantu menangani masalah kolesterol, penyakit jantung serta bersifat antiradang.

Dalam satu kajian, pengambilan makanan yang mengandungi produk tomato yang tinggi boleh membantu menurunkan kadar kolesterol tidak baik secara ketara.

Asid nicotinic dalam tomato membantu untuk mengurangkan kolesterol darah, sekali gus bermafaat untuk mereka yang berpenyakit jantung.

Tomato juga sumber yang kaya bagi vitamin A, C dan K serta serat, mangan, fosfours, folat juga protein.

Pengambilan tomato yang banyak juga dapat membantu peningkatan tekstur kulit. Daripada segi dalaman tubuh, tomato dikenali sebagai bahan pembersih darah.

Ia juga adalah antiseptik semula jadi oleh itu, ia membantu untuk melindungi diri daripada jangkitan.

Sumber Metro





Sunday, March 14, 2010

Protes Kartunis Hina Nabi

Lars Vilks
Semoga Allah membinasakan kedua tangannya sepertimana Abu Lahab

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengajak seluruh rakyat untuk menyertai Himpunan Sejuta Ummah di hadapan Kedutaan Sweden pada Jumaat, 19 Mac ini.

Himpunan itu dirancang sebagai menunjukkan bantahan terhadap tindakan terbaru beberapa akhbar di Sweden yang menyiarkan lakaran menghina Nabi Muhammad s.a.w.

Bercakap dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut tengah hari ini, ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pada tarikh itu, pihaknya akan menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung perkara itu kepada pihak Kedutaan Sweden.

Mereka akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak dan kemudiannya berarak ke Kedutaan Sweden.

"Pemuda akan turun beramai-ramai di Kedutaan Sweden 19 Mac ini bagi menunjukkan bantahan kita terhadap pelukis dan akhbar mereka yang telah menghina Rasulullah s.a.w.

"Saya menyeru dan mengajak seluruh umat Islam yang prihatin agar turun bersama-sama kami bagi menzahirkan bantahan kita terhadap penghinaan yang dilakukan terhadap Rasul kita," katanya.

Pelukis Sweden, Lars Vilks melukis kartun menghina Nabi Muhammad s.a.w. dengan membuat membuat lakaran tubuh Rasulullah s.a.w. seperti anjing dan disiarkan oleh akhbar Dagens Nyheter, Expressen serta Sydsvenska Dagbladet.

Sumber Harakahdaily


Komen penulis: Islam di atas segalanya. Mengambil iktibar dari itu, saya menyeru sahabat-sahabat tanpa mengira fahaman politik, marilah kita sama-sama menzahirkan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan menyertai bantahan terhadap penghinaan jijik dari seorang kartunis sweden. Ini adalah salah satu propaganda yahudi antarabangsa bagi meningkatkan kemarahan ummat Islam seluruhnya. Fikir-fikirkanlah, moga-moga setiap amal soleh kita diganjari Allah kelak, amin.

Sekian

Muslimah Mahu Bunuh Kartunis Hina Nabi...

Lars Vilks, kartunis biadab yang menghina Nabi Muhammad s.a.w

WASHINGTON 13 Mac - Pihak berkuasa di Ireland sedang menyiasat seorang lagi wanita Amerika Syarikat (AS) kerana disyaki terlibat dalam satu komplot antarabangsa untuk membunuh seorang kartunis Sweden kerana menghina Nabi Muhammad SAW.

Seorang wanita dari Colorado, Jamie Paulin-Ramirez, 31, adalah antara tujuh orang yang ditahan di Ireland pada Selasa lalu, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ) di laman webnya semalam.

Polis Ireland berkata, mereka ditangkap berhubung komplot untuk membunuh kartunis Sweden, Lars Vilk kerana melukis karikatur Nabi Muhammad SAW dengan badan seekor anjing.

Jabatan Negara AS pada Selasa lalu mengumumkan, pihaknya mendakwa seorang wanita dari Pennsylvania, Colleen LaRose yang menggunakan nama-nama samaran 'Fatima LaRose' dan 'JihadJane' atas tuduhan berkomplot untuk membunuh seorang lelaki Sweden.

Menurut WSJ, antara suspek yang ditahan di Ireland ialah seorang lelaki Algeria yang menjadi orang utama dihubungi oleh LaRose.

Satu sumber mendedahkan lelaki tersebut menjalin hubungan dengan Paulin-Ramirez, lapor akhbar itu.

Suspek yang ditangkap di Ireland termasuk dua lagi warga Algeria, seorang rakyat Croatia, seorang dari Palestin dan seorang warga Libya.

Hampir setahun lalu, Paulin-Ramirez mengumumkan dia sudah memeluk agama Islam dan pada 11 September tahun lepas, dia meninggalkan rumahnya di pekan Leadville, Colorado untuk mengahwini seorang lelaki Islam di New York yang dihubunginya menerusi laman web, menurut WSJ.

Akhbar itu menemu bual ibu Paulin-Ramirez, Christine Holcomb di Colorado. "Saya marah dengan dia sekarang, saya rasa macam hendak mencekik dia. Namun saya juga risau mengenai dirinya, saya sayang dengan anak saya," kata Holcomb.

Sementara itu di Dublin, Ireland, tiga daripada tujuh suspek yang ditahan berhubung komplot bunuh itu dibebaskan tanpa sebarang tuduhan.

Dua wanita dan seorang lelaki itu dibebaskan selepas disoal siasat selama lebih tiga hari, manakala tiga lelaki dan seorang wanita masih ditahan, menurut polis Ireland semalam. - Agensi

Budak 11 Tahun Kahwin Tanpa Rela...

KUALA KRAI: Seorang kanak-kanak perempuan, Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang dikahwinkan dengan seorang lelaki tabligh berusia 41 tahun dan dilarikan lelaki terbabit telah ditemui di sebuah masjid berhampiran Batu Caves, Selangor, semalam.

Siti Sarnan Mat Ail, 42, ibu kanak-kanak itu berkata, beliau dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan mengenai penemuan anaknya itu.

"Kira-kira pukul 6.30 petang semalam saya terima satu panggilan daripada seorang lelaki yang memberitahu anak saya berada di sebuah masjid Al-Ikhwan di Taman Samudera dekat Batu Caves.

"Mulanya saya ragu-ragu kerana tidak mungkin anak saya dibawa hingga ke Selangor tetapi apabila dibenarkan bercakap dengan anak saya barulah saya percaya," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Katanya, sebaik mengetahui anaknya ditinggalkan di surau terbabit, beliau segera menghubungi salah seorang saudaranya yang menetap berhampiran Batu Caves supaya pergi menemui Siti Nur Zubaidah.

"Saudara kakak kemudian menemui Siti Nur Zubaidah dalam keadaan lemah tidak bermaya dan membawanya ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan penemuan sebelum membawanya ke Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera Batu Caves oleh bapa saudara kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 7.15 malam.

Siti Sarnan berkata, sehingga kini anaknya itu masih dirawat di hospital terbabit dan beliau dimaklumkan saudaranya, Siti Nur Zubaidah berada dalam keadaan stabil tetapi enggan bercakap kerana masih dalam keadaan trauma.

"Mungkin dia lemah kerana tidak makan dan trauma apabila dilarikan lelaki itu sehingga ke Selangor. Saya tidak sabar untuk berjumpa anak saya itu setelah 20 hari dia hilang," katanya.

Siti Sarnan berkata, beliau dan suaminya meneruskan perjalanan ke Selangor pagi ini untuk menemui Siti Nur Zubaidah.

Sebelum ini, Siti Nur Zubaidah, dikahwinkan bapanya Hussin Mat Salleh, 54, dengan Shamsuddin Che Derahman, lelaki tabligh berusia 41 tahun selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut Sunnah Nabi Muhammad.

Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat umur berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.

Siti Sarnan kemudian membuat laporan polis pada 25 Februari lalu.

Sementara itu, isteri pertama lelaki terbabit, Rohana, 33, berkata, sehingga kini suaminya yang dikenali sebagai "Sudin Ajaib" itu tidak menghantar sebarang berita atau menghubunginya.

"Saya tidak tahu ke mana suami saya menghilang dan turut berusaha mengesannya sebelum ini, syukurlah Siti Nur Zubaidah ditemui," katanya.

Sementara itu, Siti Sarnan berkata, beliau masih mengharapkan orang ramai yang melihat lelaki terbabit yang menaiki kereta Proton Iswara berwarna putih milik suaminya dengan nombor pendaftaran BEF 7599 supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Menurutnya, beliau bersyukur anaknya ditemui dalam keadaan selamat dan mengharapkan lelaki itu ditahan polis bagi mengelakkan kanak-kanak lain menjadi mangsa. - BERNAMA

Thursday, March 11, 2010

Sudahkah Anda Bersedia Menerima Si Dia....

Anda mungkin telah bertemu dengan pasangan yang anda cintai. Tetapi masalahnya anda masih belum punya keyakinan untuk mengakhiri hubungan percintaan itu ke jinjang pelamin. Ada perasaan ragu-ragu untuk melangkah ke alam rumah tangga yang penuh dengan tanggungjawab dan pelbagai dugaan.

Sememangnya banyak yang perlu difikirkan sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Anda harus menyediakan diri dengan banyak perkara. Kerana mengingatkan semua perkara inilah ramai yang masih belum berani berkahwin walaupun telah bertahun-tahun bercinta.

Tulisan di bawah ini bukan untuk menakut-nakutkan anda yang masih bujang tentang perkahwinan tapi sekadar ingin memberitahu beberapa perkara yang harus dipertimbangkan sebelum membuat keputusan mengakhiri zaman solo.

Fikirkan perkara-perkara di bawah tapi jika anda sudah yakin dengan pilihan anda, tunggu apa lagi!

Ada alasan kukuh berkahwin

Perkara paling utama ialah keyakinan diri. Oleh sebab itu, yakinkan diri kenapa anda harus mendirikan rumah tangga. Apa yang ingin anda perolehi daripadanya? Apa kesannya pada diri anda, pasangan dan keluarga masing-masing? Jika jawapannya masih belum dapat anda pastikan, ataupun alasannya belum lagi realistik, lebih baik tunda dahulu niat anda sehingga anda benar-benar yakin.

Harus sedia berkongsi

Anda harus menerima kenyataan bahawa situasi tinggal bersama itu berbeza dengan tinggal sendiri. Semuanya harus dikongsi. Bukan sekadar berkongsi bilik, satu almari tetapi juga berkongsi waktu, perhatian, seks, kewangan dan juga emosi.

Sedia untuk sakit hati

Segala tindakan dan perbuatan pasti mempunyai risiko. Begitu juga dengan mengambil keputusan untuk berkahwin. Perkahwinan akan membuka topeng masing-masing. Jika sudah memutuskan untuk berkahwin bererti anda harus sedia menerima risiko paling buruk tentang sikap pasangan anda.

Sedia untuk berfikiran terbuka

Masalah selalu ada, bila-bila dan di mana saja. Adakalanya permasalahan timbul untuk memperbaiki kualiti hubungan anda. Oleh sebab itu, lebih baik jika anda selalu sedia membuka diri untuk bertukar fikiran dengan pasangan agar hubungan emosi tetap terjalin.

Sedia untuk kompromi

Punya agenda, pendapat atau prinsip sendiri memang boleh tapi ingat akan pasangan anda. Dia juga mempunyai kesibukan, pendapat, keinginan yang mungkin berbeza dengan anda. Maka meningkat diri untuk bertoleransi, saling menghargai akan sangat membantu rumah tangga.

Sedia untuk berpisah

Di dunia ini tidak ada yang abadi. Berkahwin merupakan cara untuk menyatukan dua hati yang berbeza dan membina sebuah mahligai bahagian. Namun dalam keadaan tertentu, terlalu sukar untuk mempertahankan kebahagiaan itu. Cara yang terbaik adalah dengan berpisah. Ketika anda melafazkan akad, anda harus menyedari bahawa akan ada salam perpisahan jika tidak seiringan.

Sedia menerima malu

Anda tentu mempunyai kriteria tersendiri dalam memilih pasangan. Tetapi, seburuk apa pun sifat dan perilaku pasangan anda di mata orang, dia adalah pilihan anda. Oleh sebab itu, anda harus berani mati dan sedia untuk malu bagi menjaga kehormatan masing-masing.

Soal anak

Selepas mendirikan rumah tangga, kehadiran anak amat dinanti untuk menyerikan kehidupan. Tetapi secara anda sedar atau tidak, anak dapat mempengaruhi hubungan dan kehidupan rumah tangga anda. Bagaimanapun, kehadiran anak adalah kurniaan Tuhan. Maka bersikap rasional dalam masalah ini akan lebih baik. Anda tidak harus mengurangi waktu untuk berdua ketika ada atau tanpa anak sekalipun.

Artikel Cinta ini telah dikongsikan oleh saudari Yankumi di Forum Tentang Cinta.


Wednesday, March 10, 2010

Rokok, Kawan atau Musuh...


Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida.


Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser.


Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua.


Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebab utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat.


Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%.


Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghazaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.



Kesan Asap Rokok Kepada Si Perokok Dan Orang Di sekeliling

Si perokok bukan sahaja perlu bertanggungjawab pada diri sendiri tetapi turut bertanggung jawab pada orang disekeliling akibat daripada bahaya asap rokok. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya, akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima.


Asap rokok yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan, yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas.


Racun dalam asap rokok yang larut air akan memasuki sistem saluran darah dan dibawa ke seluruh badan. Bahan nikotin, bukan saja memberi sifat ketagihan, malah menyebabkan saluran darah arteri menjadi sempit. Ia juga merosakkan dinding arteri dan akan memudaratkan organ berkaitan.


Kesan ini, dalam jangka panjang, akan menyebabkan simptom kebas pada kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati, kekejangan otot kaki, serangan penyakit jantung dan sebagainya.


Racun rokok akhirnya disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing.


Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu.


Kesan Asap Rokok Terhadap Isteri Perokok Adalah :

  • Melahirkan bayi yang kurang berat badan
  • Melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
  • Lebih terdedah kepada kanser
  • Mengurangkan kesuburan dan putus haid awal


Kesan Asap Rokok Terhadap Anak Perokok :

  • Lebih mudah mendapat lelah
  • Mendapat jangkitan paru-paru
  • Pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu
  • Mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak



Statistik Kematian Akibat Tabiat Merokok

Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 30 peratus daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut, 50 peratus kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok dengan pecahan 25 peratus masing-masing.

Menurut Dr Sallehudin, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan di seluruh negara akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) dan lebih penting, negara mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.


Faedah Berhenti Merokok

  • Dapat menghindari racun
  • Dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok
  • Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
  • Menjadi teladan yang baik kepada anak-anak
  • Dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat
  • Meningkatkan deria rasa dan bau
  • Gigi lebih putih dan nafas lebih segar
  • Dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat.


Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok

  • Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
  • Yakinkan diri
  • Buat nota peringatan
  • Katakan pada diri anda, "Aku bukan perokok"
  • Sentiasa berfikiran positif
  • Dapatkan sokongan
  • Lawan keinginan untuk merokok
  • Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai
  • Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok


Petua 10 M Untuk Berhenti Merokok

  • Melengah-lengah tabiat menghisab
  • Minum banyak air
  • Menarik nafas panjang
  • Membuat sesuatu
  • Menjauhkan diri dari tempat orang merokok
  • Mengunyah sesuatu
  • Membasuh tangan
  • Mandi dengan kerap
  • Melakukan senaman rengangan
  • Memohon doa


Sumber:

Pusat Racun Negara, USM Official Website

Kementerian Kesihatan Malaysia Official Website

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...