Tuesday, March 9, 2010

Isu Agama: Tuduhan Liwat Jadi Mainan Politik


KL Mac 8 2010. Satu cakera padat (CD) yang berupa rakaman sidang video ulama tersohor Prof Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung fatwa terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diedarkan kepada orang ramai malam tadi.

Dalam rakaman sidang video itu antara lain mengandungi mengenai fatwa ulama dunia Islam itu terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar yang juga ketua pembangkang. Sidang video itu telah dirakamkan pada 14 Februari selama 33 minit itu di kediaman Dr Yusuf di Doha, Qatar termasuk terjemahan percakapan beliau yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Abdul Ghani Shamsuddin.

Cakera padat yang bertajuk
"Fatwa Mutakhir Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim" telah diterbitkan oleh Women's Institute of Research Development dan Advancement (WIRDA) diedarkan secara percuma.

Anwar dalam ceramahnya malam tadi berkata Dr Yusuf - yang merupakan Ketua Ulama Islam Sedunia - menegaskan kepadanya bahawa isu yang dihadapinya itu berkaitan dengan hukum Islam dan akhlak. Tambahnya, dalam sidang video itu tokoh Islam itu membawa hujah al-Quran dan Hadis serta alasan-alasan beliau mengeluarkan fatwa tersebut.

"Ini bukan soal PAS, atau PKR, tetapi ini soal akidah dan akhlak. Beliau berkata kepada saya, bahawa beliau bertanggungjawab di akhirat kelak (dengan fatwanya)," kata Anwar ketika berceramah di Kampung Baru di ibunegara malam tadi. Ceramah itu disampaikan sempena sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat sejak memenangi pilihan raya umum pada 2008, termasuk menguasai sembilan daripada 10 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam ceramahnya, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata Dr Yusuf telah mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung maka hukumnya adalah "munafik" Anwar juga berkata fatwa Dr Yusuf juga menyebut, bahawa sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

Kata Anwar, orang yang fasik tidak boleh diterima kesaksiannya dan kebenaran percakapannya sepanjang hidup. "Dr Yusuf berkata kepada saya, tolong selamatkan mereka... Ini merupakan satu amanah, tolong sampaikan, dan sebarkan kepada semua," kata Anwar.

Sehubungan itu, Anwar meminta hadirin memperbanyakkan salinan CD tersebut dan menyebarkan kepada orang ramai. "Ada orang kata saya ada kepentingan (dengan CD itu), (tapi) saya rasa tidak tergugat (dengan pertuduhan itu) kerana tidak ada kes, (dan) laporan doktor menyebelahi kita," katanya.

Sementara itu Azmin memberitahu pada ceramahnya malam itu, tindakan polis menyerbu majlis pada malam itu setelah mendapat tahu satu VCD akan dilancarkan oleh Anwar berkaitan dengan fatwa terbaru ulama tersohor tersebut. (2MA)

Sumber Ibnu Hasyim

Komen penulis blog: Aku bukanlah pencinta politik tetapi al-quran mengajarku untuk tidak memisahkan politik dengan agama. Setiap tindak-tanduk kita seharian perlulah berlandaskan al-quran dan as-sunnah sebagai pegangan. Dengan memegang fahaman itu aku perlu bertindak waras atas setiap tindakanku. Bukan untuk mengajar sesiapa tentang politik atau agama tetapi hanya memberi pandangan semata. Islam itu mengajar ummatnya untuk adil dan bersifat dengannya.

Akhirnya, fahamilah al-quran kerana di dalamnya terdapat segala khazanah ilmu dan dengarilah kata-kata mutiara Ulama kerana di dalamnya terdapat keadilan dan ketelusan dalam memberi pandangan.

Sekian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...