Sunday, March 14, 2010

Muslimah Mahu Bunuh Kartunis Hina Nabi...

Lars Vilks, kartunis biadab yang menghina Nabi Muhammad s.a.w

WASHINGTON 13 Mac - Pihak berkuasa di Ireland sedang menyiasat seorang lagi wanita Amerika Syarikat (AS) kerana disyaki terlibat dalam satu komplot antarabangsa untuk membunuh seorang kartunis Sweden kerana menghina Nabi Muhammad SAW.

Seorang wanita dari Colorado, Jamie Paulin-Ramirez, 31, adalah antara tujuh orang yang ditahan di Ireland pada Selasa lalu, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ) di laman webnya semalam.

Polis Ireland berkata, mereka ditangkap berhubung komplot untuk membunuh kartunis Sweden, Lars Vilk kerana melukis karikatur Nabi Muhammad SAW dengan badan seekor anjing.

Jabatan Negara AS pada Selasa lalu mengumumkan, pihaknya mendakwa seorang wanita dari Pennsylvania, Colleen LaRose yang menggunakan nama-nama samaran 'Fatima LaRose' dan 'JihadJane' atas tuduhan berkomplot untuk membunuh seorang lelaki Sweden.

Menurut WSJ, antara suspek yang ditahan di Ireland ialah seorang lelaki Algeria yang menjadi orang utama dihubungi oleh LaRose.

Satu sumber mendedahkan lelaki tersebut menjalin hubungan dengan Paulin-Ramirez, lapor akhbar itu.

Suspek yang ditangkap di Ireland termasuk dua lagi warga Algeria, seorang rakyat Croatia, seorang dari Palestin dan seorang warga Libya.

Hampir setahun lalu, Paulin-Ramirez mengumumkan dia sudah memeluk agama Islam dan pada 11 September tahun lepas, dia meninggalkan rumahnya di pekan Leadville, Colorado untuk mengahwini seorang lelaki Islam di New York yang dihubunginya menerusi laman web, menurut WSJ.

Akhbar itu menemu bual ibu Paulin-Ramirez, Christine Holcomb di Colorado. "Saya marah dengan dia sekarang, saya rasa macam hendak mencekik dia. Namun saya juga risau mengenai dirinya, saya sayang dengan anak saya," kata Holcomb.

Sementara itu di Dublin, Ireland, tiga daripada tujuh suspek yang ditahan berhubung komplot bunuh itu dibebaskan tanpa sebarang tuduhan.

Dua wanita dan seorang lelaki itu dibebaskan selepas disoal siasat selama lebih tiga hari, manakala tiga lelaki dan seorang wanita masih ditahan, menurut polis Ireland semalam. - Agensi

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...