Junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w menerima kitab Al Quran dan mengajarkannya melalui cerita yang diriwayatkan secara turun-temurun yang kita kenal sebagai hadis Nabawi, iaitu kumpulan riwayat hadis suci Rasululah s.a.w.
Tentang hubungan antara iman dan amal, demikian sabdanya:
“Allah tidak menerima iman tanpa amal perbuatan dan tidak pula menerima amal perbuatan tanpa iman”…. [HR. Ath-Thabrani] kemudian dijelaskannya pula bahwa,“Menuntut ilmu itu wajib atas setiap muslim”…. [HR. Ibnu Majah dari Anas, HR. Al Baihaqi]
Seterusnya, suatu ketika seorang sahabatnya, Imran berkata dia pernah bertanya, "Wahai Rasulullah, amalan-amalan apakah yang seharusnya dilakukan?".
Beliau s.a.w. menjawab: "Masing-masing dimudahkan kepada suatu yang diciptakan untuknya"…. [HR. Bukhari]
“Barangsiapa mengamalkan apa yang diketahuinya, nescaya Allah mewariskan kepadanya ilmu yang belum diketahuinya.”…. [HR. Abu Na’im]
”Ilmu itu ada dua, yaitu ilmu lisan, itulah hujjah Allah Ta’ala atas makhlukNya dan ilmu yang di dalam hati itulah ilmu yang bermanfaat.” ….[HR. At Tirmidzi]
”Seseorang itu tidak menjadi ‘alim sehingga ia mengamalkan ilmunya.” …. [HR. Ibnu Hibban]
Suatu peristiwa datanglah seorang sahabat kepada Nabi s.a.w. dengan mengajukan pertanyaan:
”Wahai Rasulullah, apakah amalan yang lebih utama ?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Ilmu Pengetahuan tentang Allah ” Sahabat itu bertanya lagi, “Ilmu apa yang Nabi maksudkan ?”. Jawab Nabi s.a.w.”Ilmu Pengetahuan tentang Allah Subhanaahu wa Ta’ala”. Sahabat itu rupanya menyangka Rasulullah s.a.w salah faham dari soalan tadi, diulang lagi “Wahai Rasulullah, kami bertanya tentang amalan sedangkan Engkau menjawab tentang Ilmu.” Jawab Nabi s.a.w pula “Sesungguhnya setiap amalan akan berfaedah bila disertai dengan ilmu tentang Allah dan banyak amalan tidak akan bermanfaat bila disertai kejahilan tentang Allah” [HR. Ibnu Abdil Birr dari Anas]
Seorang motivator dalam sebuah kursus motivasi AMT (Achievement Motivation Training) menegaskan suatu perumpamaan:
A young man who graduated yesterday and stops learning today will become uneducated tomorrow.
(Orang muda yang menamatkan pelajarannya kelmarin dan sejak itu berhenti belajar akan menjadi orang yang tidak terpelajar di kemudian hari.)
KISAH SI PENEBANG POKOK DAN MAJIKANNYA
Ini adalah sebuah cerpen tentang seorang penebang pokok yang sangat kuat. Dia meminta pekerjaan dari seorang pedagang kayu dan dia diterima bekerja. Gaji yang diterimanya juga agak berpatutan kerana si penebang pokok itu bersetuju untuk bekerja sebaik mungkin.
Kemudian si majikan memberikan sebuah kapak dan menunjukkan tempat pokok-pokok perlu ditebang. Hari pertama si penebang pokok berhasil menumbangkan 50 batang pokok. Si majikan sangat berpuas hati dengan hasil kerja si penebangpokok itu dan berkata, "Bagus, bekerjalah seperti itu".
Disebabkan sangat terkesan oleh pujian majikannya, keesokan hari si penebang pokok itu bekerja lebih keras lagi tetapi dia hanya mampu menumbangkan 35 batang pokok sahaja.
Hari ketiga dia bekerja lebih keras lagi tetapi hanya berhasil menumbangkan 25 batang pokok sahaja. Hari demi hari berlalu, pokok yang berjaya ditumbangkan makin sedikit dan semakin sedikit sampai akhirnya dia hanya berjaya menebang 2 batang pokok sahaja dalam sehari.
"Aku mungkin telah kehilangan kekuatan ku", fikir si penebang pokok itu. Dia kemudian menemui majikannya dan meminta maaf atas apa yang telah berlaku sambil mengatakan tidak tahu apa yang telah terjadi kepadanya.
"Bila kali terakhir kau mengasah kapakmu?" Si majikan bertanya.
"Mengasah? Aku tiada masa untuk mengasah. Aku sangat sibuk menebang pokok setiap hari" katanya.
Fikir-fikirkan dan fahami isi tersirat dari kisah di atas. Semoga setiap amal yang kita lakukan bersatu dengan iman dan ilmu. Dan semoga iman yang kita miliki ini juga bersatu dengan amal perbuatan dan ilmu. Tiga perkara ini saling berkait, saling bertautan dan perlu bersama setiap saat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment