من أبي ذررضي الله عنه قال رسول الله (ص):
اتق الله حيثما كنت واتبع السيئة الحسنة تمحها وخالق الناس بخلق حسن
Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan supaya ia menghapuskannya, dan berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik”.
Hadis ini hasan sahih di sisi Imam Ahmad dan di sisi al-Tarmizi.
Daripada hadis ini kita boleh kategorikan dalam beberapa point iaitu:
1. Hak kepada Allah
2. Hak kepada diri sendiri
3. Hak kepada manusia
Hak kepda Allah
Haruslah kita sentiasa menunaikan segala kewajipan kita kepada Allah s.w.t seperti yang telah ditaklifkan kepada kita sebagai khalifahNya. Apabila dilihat dan diteliti hadis ini, aku kadang-kadang terasa kena atas batang hidung aku sendiri. Hak-hak Allah yang patut aku tunaikan dahulu seperti solat sebagai contoh terabai dengan kesibukan dan keletihan dalam belajar dan bekerja. Sepatutnya perkara sebegini tidak boleh dijadikan alasan untuk melambatkan solat. Hak Allah itu perlu diutamakan dan tinggalkan sekejap urusan dunia. Ingatlah jika kita tunaikan hak Allah maka Allah akan permudahkan urusan kita di dunia dan akhirat, insya’Allah.
Hak kepada diri sendiri
Manusia tetap manusia. Kita tidakkan lari dari salah atau pun dari melakukan dosa. Orang sering kata,”Kita ni manusia, banyak buat salah tu biasa je lah”. Memang manusia selalu buat salah, tetapi kalau sengaja untuk buat salah, adakah alasan ini juga akan diberikan? Hadis ini memberikan kita suatu penawar untuk menghapuskan kesalahan dan dosa yang telah kita buat. Dalam konteks ini dosa kecil saja yang dikira. Gantilah keburukan dengan kebaikan adalah suatu bentuk anjuran daripada hadis ini untuk kita tebus balik dosa kecil kita sebagai contoh anda telah mengumpat kawan anda, tiba-tiba anda tersedar yang anda telah berbuat dosa seakan-akan memakan daging kawan anda sendiri. Jadi tebuslah perkara itu dengan kebaikan, seperti anda meminta maaf kepadanya dan beristighfar kepada Allah akan perbuatan dosa anda. Moga-moga hati kita suci daripada dosa.
Hak kepada manusia
Tunaikalah hak manusia tidak kira lah dia muslim atau pun non muslim kerana semua manusia adalah kawan kita dan sahabat kita. Teringat pula saya kata-kata sang pujangga,”Hidup ini sangat singkat, maka jangan anda pendekkan dengan banyak merasa takut. Mencari kawan itu susah, maka jangan membuatnya menyesal dengan menghinanya. Sedangkan musuh itu banyak sekali, dan jangan menambah jumlah mereka dengan akhlak yang buruk”.
Setiap manusia ada sifat ingin menyayangi dan disayangi. Keindahan hidup kita ini adalah diwarnai dengan perasaan itu sebenarnya. Sayang Allah kepda kita adalah lebih baik berbanding dengan sayang manusia kepada kita. Manusia melihat pada zahirnya sahaja tetapi Allah melihat kita pada hati. Manusia memandang pada kekayaannya, kecantikannya, rumahnya besar, keretanya mahal dan bergaya dan sebagainya tetapi Allah hanya melihat pada ketaqwaan kita tidak kiralah kita miskin atau kaya, cantik atau hodoh, hitam atau putih. Sesungguhnya pandangan manusia itu palsu dan penuh kepura-puraan dan pandangan Allah adalah pandangan suci dan selayaknya. Oleh sebab itulah kita perlu mula dari diri kita sendiri dalam kita bersahabat dan berkawan.
Kesimpulanya dalam hidup kita sesingkat ini, perlulah kita berakhlak mulia dan berbuak baik kepada semua. Berakhlak mulia adalah tuntutan agama yang selayaknya kita praktikkan dalam kehidupan kita seharian. Dan janganlah pula kita sengaja mencari musuh. Setiap gerak kerja kita biarlah disukai oleh orang lain dan tidak menimbulkan kemarahan kepada sesiapa pun yang boleh membawa kepada permusuhan. Rasulullah mengingatkan kita tentang perkara ini dalam sebuah hadis baginda:
من أبي دردئ قال رسول الله (ص):
ليس المؤمن بالطعان ولا اللعان ولا الفاحش ولا البذئ
Maksudnya: “Bukanlah dari golongan orang beriman yang sempurna imannya, orang yang suka mengecam, suka melaknat, suka bercakap yang kufur dan suka mencarut”.
Hiasilah hidup kita dengan akhlak yang mulia. Sesiapa saja yang kita kenal, buat baiklah kepada mereka tanpa fikirkan balasan. Sebaik-baik balasan adalah dari Allah. Moga-moga setiap amal soleh yang kita lakukan, mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah.
Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment