Monday, March 15, 2010

Sekitar GST: Kurang kadar cukai korporat

KERAJAAN sepatutnya mengurangkan kadar cukai korporat, bukan memberi insentif cukai, kata Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia.

Presidennya, Aziz Abu Bakar berkata, kadar cukai korporat Malaysia 26 peratus memang kompetitif berbanding kebanyakan negara di Asia kecuali Singapura 18 peratus.

“Antara cadangan kami kepada kerajaan ialah supaya kadar cukai korporat yang lebih jelas dan murah berbanding memberikan banyak insentif cukai. Itulah rejim percukaian yang kami mahu kerajaan ubah,” katanya selepas Persidangan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, masalahnya ialah orang ramai biasanya melihat kepada kadar cukai dan melupakan insentif, yang ada masanya tidak memberi manfaat kepada syarikat.

“Dari segi insentif, sukar membentuk syarikat bagi menyesuaikannya. Oleh itu adalah lebih baik menyediakan kadar cukai yang berkurangan, kompetitif berbanding Singapura,” katanya.

Penggantian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada dengan GST, yang dicadangkan empat peratus pada peringkat awal yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan 2011, dijangka menurunkan cukai pendapatan dan korporat.

Bagaimanapun, Aziz enggan menyatakan kadar dua cukai yang patut dikurangkan jika GST dilaksanakan.

“Saya tidak dapat menyebut angkanya. Namun, ia perlu kompetitif,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menawarkan pelepasan kepada syarikat dalam menyediakan pelaksanaan sistem GST. - Bernama



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...